Saturday, February 27, 2010

SELAMAT TINGGAL...


Suasana pagi di SK Kuala Kubu Bharu...

Kami pegawai-pegawai Sektor Pengurusan Akademik, PPDHS dengan sedihnya mengucapkan selamat tinggal kepada Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Selangor (Cawangan) yang telah berjasa selama 3 tahun. Tarikh 25 Februari 2010 adalah tarikh akhir kami beroperasi di sana.

Kepada Guru Besar serta warga SK Kuala Kubu Bharu, terima kasih diucapkan kerana sudi meminjamkan kami bangunan di PPD Cawangan. Maaf dipinta jika ada perlakuan kami yang menyinggung perasaan terutama "terambil" tempat letak kereta berbumbung. Semoga Allah jua membalas kerjasama yang telah diberikan kepada kami.


Selamat tinggal ...

TEMPAT BARU.

Memaklumkan bahawa mulai 1 Mac 2010, Pengurusan Akademik PPDHS akan beroperasi di Aras 3, Wisma TNB ; berhadapan Stesen Bas Kuala Kubu Bharu.


Gembira dalam sedih ...

Sebelum pulang bercuti sempena Tahun Baru Cina, Sektor Pengurusan Akademik telah mengorak langkah, mengerah tenaga empat kerat untuk berkemas. Siang malam, pagi petang, semua dokumen penting diikat dan dimasukkan dalam kotak. Dimaklumkan bahawa pada 24 Februari 2010; ada kontraktor angkat hadir untuk mengangkat kotak-kotak dokumen dan perabot.

Namun, pada hari Selasa 23 Februari 2010, berita yang mengejutkan telah diterima ....

Sila angkat barangan sendiri .....

Maka akhirnya, semua pegawai di SPA PPDHS telah bekerja keras untuk menjadi "Badang" bagi mengangkat dokumen, perabot serta apa jua barangan yang terdapat di dalam PPD Cawangan. Muka, warna kulit serta bau badan sepanjang minggu itu jangan cerita...

(Jangan nak buat lawak dalam minggu tu kerana dah tak larat nak gelak ....)

Work station untuk SPA PPDHS; macam di bilik guru. Tak ada lagi bilik untuk individu...

Orang kuat SPA sedang mengemas dokumen penting akademik.

Wajah bilik Penolong PPDA dan Ketua Unit SPA PPDHS.

Semua perabot dan dokumen telah siap dimasukkan ke dalam lori yang disewa khas guna duit sendiri.

Terima kasih pantri yang telah berkhidmat selama 3 tahun...

Idea kreatif KUTV; angkat barangan berpuluh kilogram dengan menggunakan tangga.

Wajah keletihan "kontraktor" mengangkat barangan. Kerja kejap, rehat banyak. Sebab tu senang ambil buruh Nepal.

Riak muka buruh paksa di dalam lori ketika menuju ke PPD Cawangan untuk trip ke-3. (Permit kerja ada ka???)

Yang pelik, makin diangkat; makin banyak barang akademik di luar bangunan TNB.

Ketua Unit Sains Matematik sedang bergembira di tempat barunya.

Ketua Unit Teknik Vokasional tengah 'blur' nak mengemas barangan di tempat barunya.

Macam tongkang pecah, tukang kemas cabut lari.... Stress tengok barang.

Akhirnya....kemas dan selesa untuk mula bekerja pada 1 Mac 2010.

Cita-cita nak wujudkan pusat rujukan akademik tercapai. Di sini tersimpan kajian tindakan dari tahun 2006 - 2009. Jemputlah datang!

Arghhh..... penat satu badan. Harap-harap, janganlah kena pindah lagi!!!!!!!!!

BALASUNGKAWA - SIRI 2

Bagi pihak Sektor Pengurusan Akademik PPDHS, kami ingin merakamkan rasa takziah kepada En. Firdaus bin Abu Hanafiah atas kepulangan kerahmatullah ayah mentuanya pada hari ini. Buat pengetahuan semua, allahyarham juga adalah merupakan bapa kepada Pn. Maishara binti Maamon, guru SK Bukit Beruntung. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di tempat orang yang beriman.

AL FATIHAH!

Monday, February 22, 2010

PENDAFTARAN SPM (U)


Kementerian Pelajaran Malaysia telah memaklumkan bahawa pendaftaran SPM (U) akan mula dibuka mulai 1 April 2010. Borang-borang boleh didapati di Jabatan Pelajaran Selangor serta pejabat pelajaran daerah yang berhampiran dengan rumah.

Mana-mana calon yang ingin mengambil borang boleh berbuat demikian di PPD Hulu Selangor (Wisma TNB) pada minggu hadapan. Walau bagaimanapun, kami difahamkan, pada tahun ini semua calon dikehendaki menghantar sendiri borang tersebut di Sektor Penilaian, Jabatan Pelajaran Selangor.

SPM (U) - BM dan Math (Jun @ Julai)
Penuh semua mata pelajaran - Bulan Nov dan Disember 2010

Keputusan Undian Kedua 2010

Adakah anda mengetahui bahawa menjadi "Guru Cemerlang" adalah merupakan laluan terbaik untuk naik pangkat dalam profesion keguruan.

Amat mengetahui = 44%
Ya = 33%
Hanya mengetahui sedikit = 33%
Tidak mengetahui langsung = 0%

Terima kasih atas undian anda.

BAHAN BACAAN MAJLIS GURU CEMERLANG

Dalam usaha untuk memotivasikan guru-guru menjadi guru cemerlang. Majlis Guru Cemerlang Kebangsaan atas inisiatif mereka telah menerbitkan dua buah buku cerpen berkenaan pengalaman mereka sebelum dan semasa menjadi guru cemerlang.

Pelbagai kisah mereka menangani masalah murid serta perkongsian pengalaman pahit manis menjadi guru cemerlang yang mana boleh menarik minat serta mencetuskan idea bernas bagi menghadapi karenah anak murid di sekolah.


Antologi Ceritera Guru Cemerlang : Memorabilia

RM 25.00
20 cerpen
Diselenggara oleh Mohamad Saleeh Rahamad dan Azizul Rahman Abdul Rahman
Penerbit : Tree Q Communication (M) Sdn. Bhd.


Selagi Masih Ada
RM 28.00
Terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
27 Cerpen
Diselenggara oleh Mohamad Saleeh Rahamad dan Azizul Rahman Abdul Rahman


Pihak sekolah adalah disarankan agar membeli buku-buku ini dan ditempatkan di pusat sumber sekolah bagi membolehkan guru-guru mengikut jejak langkah guru-guru cemerlang dalam mendidik anak-anak murid.

Buku-buku boleh didapati dengan menghubungi YDP Majlis Guru Cemerlang (MGC), Pn. Siti Sarah binti Abd. Malek (SK Serendah) atau Bendahari MGC; En. Yahya bin Mamat (SM Sains Hulu Selangor).

Sunday, February 21, 2010

MAKLUMAN PENGURUSAN BADAN IHSAN

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Satu Malaysia.



Bagi Daerah Hulu Selangor, kematian yang telah berlaku kepada ahli Badan Ihsan ialah sebanyak 2 orang; Allahyarham Abdul Aziz Bin Ramli dan Allahyarhamah Norita Bt. Ibrahim, manakala jumlah kematian ahli Badan Ihsan diperingkat negeri Selangor ialah 16 orang. Bacaan Alfatihah bagi yang berugama Islam



Kepada semua ahli Badan Ihsan Anggota Jabatan Pendidikan Selangor bagi Daerah Hulu Selangor adalah dimaklumkan bahawa pada tahun 2010 :

1. Yuran Tahunan ahli : RM 5.00

2. Sumbangan kematian ahli badan Ihsan sehingga Februari : RM 10.00 (kutipan awal)

3. Sekiranya ahli mempunyai bayaran tertunggak yang perlu dilunaskan, sila buat tindakan segera sebelum ia menambahkan kesulitan anda sebagai ahli.



Dari pihak pengurusan mengucapkan terima kasih atas kerjasama sepanjang tahun 2009 yang lepas. Dan selamat menyambut Maulidur Rasul bagi tahun 1431 Hijrah.

MAJLIS TILAWAH AL-QURAN 2010

Pada 2 hb Februari yang lalu Unit Pendidikan Islam PPD Hulu Selangor telah menawarkan 3 acara kepada sekolah menengah dan sekolah rendah untuk mewakili daerah. Kami mengucapkan terima kasih dan tahniah khususnya kepada Sekolah Agama Menengah Tinggi Kuala Kubu Bharu kerana ia satu-satunya sekolah yang telah menghantar wakil bagi acara Hafazan Menengah lelaki dan perempuan. KAMI MERAYU AGAR SEMUA SEKOLAH MENGAMBIL PERHATIAN. PELUANG MASIH TERBUKA UNTUK MURID SEKOLAH ANDA....bagi yang tidak mengetahui acara yang ditawarkan, acara tersebut ialah Tilawah, Hafazan dan Bercerita bagi sekolah rendah. Dan acara Tilawah, Hafazan dan Syarahan bagi sekolah menengah.

Tuesday, February 16, 2010

WELCOME

To all visitors out from Malaysia. We would like to welcome you to surf our blog. The main purpose of this blog is to disseminate education information to all teachers and parents in our district. We also welcome any visitors who would like to know about our education system or to ask any questions regarding our district education management.

We will try our best to answer your questions and keep you informed at all times.


Saturday, February 13, 2010

PRAUJIAN PROGRAM PEMULIHAN 3M TAHUN 4 - 5 2010

Seperti mana yang sedia maklum, semua penolong kanan kurikulum SR telah menghadiri serta faham tentang pelaksanaan Praujian Program Pemulihan 3M bagi murid-murid tahun 4 dan 5 2010. Ujian ini perlu dilaksanakan secara serentak pada 23 Februari 2010.

Setiap sekolah telah pun menerima :
1. Kertas soalan Praujian Kemahiran 2M tahun 4
2. Kertas soalan Praujian Kemahiran 2 M Tahun 5
3. Skema jawapan Praujian Kemahiran Menulis Tahun 4
4.
Skema jawapan Praujian Kemahiran Menulis Tahun 5
5. Panduan pelaksanaan
6. Borang analisis pencapaian individu
7. BRG 1 : Maklumat Sekolah
8. BRG 2 : Rekod Sekolah
9. BRG 3 : PPD/JPN/BPK
10. Carta alir pelaksanaan PROTIM

Semua BRG 1, BRG 2 dan BRG 3 yang telah lengkap perlulah dihantar ke PPD Hulu Selangor sebelum 5 Mac 2010 kepada Ketua Unit Bahasa / Ketua Unit Sains dan Matematik.

JAWATANKUASA MAJLIS GURU CEMERLANG DAERAH HULU SELANGOR SESI 2010 - 2011

BERIKUT IALAH SENARAI JAWATANKUASA YANG BARU DILANTIK DALAM MESYUARAT AGUNG YANG DIJALANKAN DI SM SAINS HULU SELANGOR.

YANG DIPERTUA : PN. SITI SARAH BINTI ABD. MALEK (SK SERENDAH) - BM

NAIB YANG DIPERTUA : TN. HJ. ANUAR BIN MD. ISA (SMK KAMPUNG SOEHARTO) - AKAUN

SETIAUSAHA : PN. AZMAH BINTI ABD. AZIZ (SMK SERENDAH) - BM

PEN. SETIAUSAHA : PN. HJH. NORISHAH BINTI ABU BAKAR (SK AMPANG PECAH) - SN

BENDAHARI : EN. YAHYA BIN MAMAT (SM SAINS HULU SELANGOR) - MT

PEN. BENDAHARI : PN. NORHAYATI BINTI ABD. AZIZ (SK KKB 1) - BM

AJK

1. PN. SALAMAH UDIN (SMK SERENDAH) - MEDIA
2. PN. SARWESWARI A/P KARUPPIAH (SMK DATO' HJ. KAMARUDDIN) - BI
3. EN. AYUB KAMARUDDIN BIN HJ. YAA'COB (SMK GEDANGSA) - BI
4. PN. LOW LAI FUN ( SMK KUALA KUBU BHARU) - MT
5. PN. NORMAWATI BINTI ABD. RAHMAN (SK SUNGAI CHOH) - SN
6. PN. ROSNIZAR BINTI KASIM (SK KERLING) - BI'
7. EN. MOHD. ZAHARI BIN ZAKARIA (SK KKB 1) - MUZIK
8. PN. MAIMUNAH BINTI ABD. AZIZ (SK GESIR TENGAH) - BM

JURUODIT :

1. PN. NOORAMALI BINTI MOHD. RAMLI (SMK BUKIT SENTOSA) - MT
2. EN. SAIFUL NIZAM BIN SAYUTI (SK GEDANGSA) - MT

Pengawas Peperiksaan 2010

Saban tahun, isu petugas peperiksaan adalah perkara yang akan menimbulkan banyak amsalah dalam pengurusan peperiksaan di daerah ini. Oleh itu, pada tahun ini Unit Peperiksaan PPDHS amat mengharapkan agar pihak sekolah menjalankan tugasan memilih petugas peperiksaan dengan bijaksana bagi mengelakkan masalah yang akan timbul pada saat akhir peperiksaan akan menjelang :

1. Pilih guru yang tidak mempunyai komitmen pada tarikh peperiksaan ( contohnya : akan berkahwin/bertunang/menghadiri kuliah PJJ / mengerjakan haji atau umrah).
2. Pastikan mereka benar-benar tahu bahawa menjadi petugas peperiksaan bukanlah suatu yang suka-suka. Sebaik sahaja telah menandatangani borang, itu adalah merupakan akujanji mereka untuk berkhidmat kepada kerajaan.
3. Mengingatkan kepada guru yang telah bersetuju untuk menjadi petugas, sila pastikan pada tarikh peperiksaan itu nanti mereka tidak mempunyai komitmen lain.
4. Maklumkan lebih awal kepada pengetua / guru besar sebarang masalah yang timbul bagi membolehkan guru alin menggantikan tempatnya.
5. Sebarang pertukaran petugas, berhubung terus dengan pengetua / guru besar dan bukannya menghubungi kami di PPDHS. Pihak kami hanya menerima nama baru yang dihantar melalui borang khas yang akan diberikan bersama-sama surat pelantikan.

Semoga pada tahun ini tiada lagi guru yang engkar dan langsung tidak menghadiri mesyuarat di pusat peperiksaan. Harus diingatkan, ketidakhadiran bertugas di pusat peperiksaan sehingga menyebabkan peperiksaan awam Malaysia tertangguh, penjawat awam boleh dikenakan tindakan tata tertib.

Pentaksiran Berasaskan Sekolah 2010

Pihak Unit Penilaian PPDHS sedang menyusun pentaksir kawasan bagi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi UPSR, PMR dan SPM 2010. Semua sekolah juga telah diarahkan untuk menghantar nama pentaksir sekolah bagi urusan perekodan kami. Malangnya terdapat beberapa sekolah masih lagi tidak menghantar nama pentaksir sekolah walaupun tarikh akhir telah pun lama berlalu.

Kepada semua Penolong Kanan Pentadbiran, mohon kerjasama untuk mengarahkan semua pentaksir sekolah menjalankan tugasan daripada sekarang dan jangan menunggu sehingga pentaksir kawasan datang ke sekolah untuk membuat pemantauan dan penyelarasan markah.

Masalah tahun lepas yang menyukarkan pentaksir kawasan seharusnya dibuat penambahbaikan pada tahun 2010 bagi melicinkan pentadbiran pengurusan peperiksaan daerah ini :

1. Fail-fail pentaksiran yang tidak dikemaskini.
2. Terdapat sekolah yang masih belum selesai menjalankan pentaksiran.
3. Markah masih ditulis dengan menggunakan pensel.
4. Markah-markah yang masih boleh dipertikaikan.
5. Kerjasama tidak diberikan kepada pentaksir kawasan sehingga terpaksa datang beberapa kali ke sekolah.
6. Borang markah yang hilang / tersalah letak pada hari pemantauan.
7. Guru bertanggungjawab tiada dan tidak meninggalkan fail di sekolah.
8. Fail tertinggal di rumah.
9. Tindak susulan kepada murid yang selalu ponteng sekolah tidak dapat dobuktikan.
10. Tindak susulan kepada murid yang telah dibuang sekolah harus ada dalam simpanan fail.

Semoga perkara ini tidak akan berulang lagi pada tahun ini.

Pendaftaran PTK Sesi Jun 2010

Taklimat Pendaftaran Penilaian Tahap Kompetensi bagi sesi Jun 2010 akan diadakan seperti butiran yang dinyatakan berikut :

Tarikh : 22 Februari 2010
Hari : Isnin
Tempat : PPD Hulu Selangor - Wisma TNB

Kepada semua guru data, sila pastikan jumlah sebenar mereka yang akan mengambil peperiksaan dengan mengisi borang analisis jumlah calon yang telah diedarkan ke semua sekolah.

SK : 9.00 - 11.00 pagi
SJK : 11.00 - 1.00 petang
SM/Kolej Komuniti/Pejabat Agama Islam Daerah / Pusat Perkembangan Serendah : 3.00 - 5.00 petang

PENDAFTARAN UPSR DAN PMR 2010

Sekarang semua setiausaha UPSR dan PMR sedang menjalankan tanggungjawab untuk mengunci masuk senarai nama calon-calon UPSR dan PMR 2010 dalam perisian yang telah dibekalkan.

Adalah diingatkan bahawa setiap pendaftaran nama sekolah yang dibuat mestilah ditaipkan juga nama daerah bagi memastikan penggabungan data pada peringkat daerah dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang masalah.


Sebagai contoh :

SK Taman Bunga Raya (1), Hulu Selangor

Kutipan data calon-calon

UPSR - 4 Mac 2010
PMR - 5 Mac 2010

Pastikan butiran tepat kerana peristiwa 2009 yang mana pelajar Islam didaftarkan sebagai pelajar Cina dalam PMR tidak akan berulang !

Pohon kerjasama rakan untuk menyemak dan pastikan kerja kunci masuk nama calon dilakukan semasa hati dalam keadaan tenang.

Selamat bertugas!!

Taklimat dan Penyelarasan Data Guru-Guru dan Murid-Murid PTV Sekolah Menengah

Pengurusan Akademik, PPDHS akan mengadakan taklimat di atas seperti butiran yang dinyatakan di bawah :

Tarikh : 23 Februari 2010
Hari : Selasa
Masa : 8.00 pagi - 1.00 petang
Tempat : SMK Syed Mashor

Sehubungan itu, semua guru kanan mata pelajaran Teknik dan Vokasional adalah diwajibkan untuk menghadiri mesyuarat tersebut dengan data yang telah dikemaskini.

Agenda Taklimat

8.00 pagi - Pendaftaran dan minum pagi
9.00 pagi - Ucapan alu-aluan pengerusi dan bacaan doa
9.10 pagi - Taklimat Sektor Pengurusan Akademik (Teknik dan Vokasional) JPS
10.00 pagi - Taklimat Sektor Pengurusan Sekolah (Teknik dan Vokasional)
11.00 pagi - Taklimat Hala Tuju Pendidikan Teknik dan Vokasional
11.30 pagi - Penyelarasan Data Guru dan Murid Teknik dan Vokasional
12.00 tengah hari - Instrumen Pemantauan
1.00 petang - Makan tengah hari dan bersurai

Ketepatan masa adalah dipohon bagi melancarkan perjalanan taklimat tersebut.

Wednesday, February 10, 2010

Pengurusan; Daripada Kaca Mata Guru - Siri 2

Kesibukan di sekolah kadang-kadang menyebabkan kita alpa kepada beberapa kerja rutin. Sama ada sedar atau tidak, kerja rutin ini tidak membawa kepada terjejasnya mutu pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Namun, secara moralnya akan memberi impak yang amat besar bagi sesetengah daripada kita yang mempunyai hala tuju kerjaya yang positif.

Laluan pintas seperti menjadi guru cemerlang, memohon menyambung pelajaran, menjawat jawatan di agensi lain seperti politeknik, institut pendidikan guru Malaysia, Institut Aminuddin Baki, institusi pengajian tinggi awam; banyak menuntut kepada bukti-bukti pengalaman serta sumbangan kita sepanjang berkhidmatan sebagai seorang guru.

Kewajarannya adalah kerana pendokumentasian merupakan suatu amalan guru cemerlang. Kata-kata tanpa bukti yang sahih tidak akan menjanjikan kepercayaan si pendengar apatah lagi yang mendengar adalah merupakan seorang yang bekerja mengikut garis panduan serta peraturan.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab pihak pentadbir, ketua panitia, pusat sumber sekolah, ketua rumah, ketua persatuan, pengerusi badan kelab dan apa jua organisasi kecil dalam organisasi besar (sekolah) untuk mengeluarkan

i. surat pelantikan sebagai AJK (bagi tahun semasa)
ii. sijil / surat penghargaan atas usaha dan jasa yang dicurah pada tahun lepas.

Orang pernah berkata, sehelai kertas yang tertera nama penerima adalah merupakan momen-momen indah kerana usaha mereka di sanjung tinggi. Surat pelantikan walaupun tiada perlu dimatikan setem, namun adalah merupakan punca kuasa kepada guru tersebut untuk menjalankan tugasnya.

Persoalannya, adakah kita sebagai pentadbir telah melaksanakannya???

(arain)

Tuesday, February 9, 2010

Mesyuarat Guru Cemerlang

Mesyuarat Guru-Guru Cemerlang Kali Pertama 2010 daerah Hulu Selangor akan diadakan seperti yang dinyatakan berikut :

Tarikh : 11 Februari 2010
Hari : Khamis
Masa : 2.00 petang
Tempat : SM Sains Hulu Selangor

Mesyuarat ini akan mempertemukan 80 orang guru cemerlang lantikan Kementerian Pelajaran Malaysia. Semua guru cemerlang di daerah ini diminta tidak menguzurkan diri bagi menghadiri mesyuarat tersebut. Sebarang pertanyaan, sila hubungi En. Aznan bin Kassan / En. Mohd. Hasren bin Damiri di talian 60645986 / 1881.

Friday, February 5, 2010

Pemantauan Kelompok Kurikulum - Bil 1 / 2010

Pada 28 Januari 2010, seramai 7 orang pegawai di Pengurusan Akademik PPDHS telah mengadakan pemantauan kali pertama. Ini adalah sejajar dengan perancangan pemantauan kelompok 2010, setiap bulan kami akan turun memantau sekurang-kurangnya 1 SR dan 1 SM.

Pemantauan pada kali ini berfokuskan kepada pencerapan sesi pengajaran dan pembelajaran, persekitaran sekolah, pemantauan bilik-bilik khas, pemeriksaan fail-fail panitia, pemupukan budaya membaca dan keilmuan serta pengurusan kurikulum yang tepat dan betul.

Berikut dipaparkan kehebatan sekolah yang telah dipantau :


Pernahkah anda pergi ke SJKT Ladang Kerling?

Kawasan padang yang bersih dan terjaga memberikan suasana yang kondusif untuk P & P PJK.


Kualiti pekerja sekolah yang berdisiplin terbukti pada cara barang-barang yang tersusun rapi.

Suasana di dalam kantin yang bersih dan teratur.

Peralatan makmal yang tersusun kemas dalam bilik sains yang telah diubahsuai.

Gaya pengurusan kelas memperlihatkan identiti guru tersebut.

Suasana kelas tahun 1 yang ceria sejajar dengan Program Transisi dan Guru Penyayang.

Tiada kemudahan papan kenyataan bukanlah alasan untuk tidak menghias kelas. Tahniah!

Pusat sumber sekolah yang kemas dan diurustadbir dengan baik. Tingkatkan usaha!

Pasca pemantauan sedang dijalankan di dalam PSS. Terima kasih kepada semua warga sekolah.

Penolong Kanan Kurikulum SR !!!

Sudahkah anda menerima surat panggilan bagi Mesyuarat Penyelarasan Program LINUS Tahun 1 Satu 2010 (Saringan 1) dan PROTIM Tahun 4 - 6 Daerah Hulu Selangor.

Kalau belum, pastikan anda berada di tempat dinyatakan di bawah :

Tempat : PKG Kalumpang
Masa : 2.30 petang
Hari : Rabu
Tarikh : 10 Februari 2010

Kehadiran adalah diwajibkan; jangan tak datang....

Thursday, February 4, 2010

Pameran Lukisan Persahabatan 2010

Pameran Lukisan Persahabatan antara PPD Hulu Selangor, PPD Gombak dan pelajar-pelajar sekolah dari Jepun (anjuran bersama dengan May Asaka Library Jepun ) yang dirancang akan diadakan pada penghujung bulan Mac ini adalah dibatalkan. Ini terpaksa dilakukan atas kekangan kewangan dan langkah penjimatan yang perlu dilakukan.

Bagi pihak Pengurusan Akademik PPDHS ingin memohon ribuan kemaafan kepada Mr. Oike (from May Asaka Japan), guru-guru pendidikan seni visual daerah Hulu Selangor dan Pn. Ruswati, SMK Serendah (yang bertungkus lumus berbincang berkenaan pameran dan menetapkan kriteria lukisan).

Semoga pada suatu hari nanti kita boleh menganjurkan pameran lukisan ini yang mana paling akhir diadakan pada tahun 1996 di Kuala Kubu Bharu.

Wednesday, February 3, 2010

Pengurusan; Daripada Kaca Mata Guru - Siri 1

Tanpa kita sedari, bulan Februari telah pun menjengah. Telah hampir sebulan murid-murid berada di alam baru persekolahan. Banyak aktiviti telah berlangsung di peringkat sekolah ; kejohanan merentas desa, pemilihan pengerusi kelab, persatuan dan rumah sukan, mesyuarat panitia, mesyuarat kelab kebajikan, angkat sumpah pengawas sekolah, pengawas pusat sumber, Program Maju Diri, Program Transisi dan Guru Penyayang dan kebanyakan sekolah yang sibuk dengan persediaan mesyuarat agung PIBG.

Walau apapun aktiviti yang telah, sedang dan akan dilakukan; sudahkah tugas utama dalam pengurusan kelas terlaksana?

Kepada guru-guru kelas, adakah kelas anda telah mempunyai :
1. Jadual waktu kelas.
2. Jadual waktu bertugas.
3. Senarai nama guru yang mengajar di dalam kelas tersebut.
4. Senarai nama murid (yang kreatif akan meletakkan foto murid-murid sekali)
5. Senarai nama guru bertugas mingguan.
6. Inventori kelas.
7. Jadual kehadiran yang lengkap.
8. Kerusi / meja guru yang selamat digunakan.
9. Kerusi / meja murid yang mencukupi.
10. Peralatan pembersihan (bakul sampah, penyapu, penyodok, bulu ayam, pemadam dan kain buruk)
11. Sudut-sudut ilmu yang telah mula beroperasi.
12. Kata-kata hikmat (memotivasikan murid-murid)
13. Carta Program Nilam
14. Sudut bacaan.
15. Meja guru yang kemas
16. Kapur / Pen 'marker' untuk kegunaan guru.
17. Maklumat / Pekeliling / Ucapan KPKPM yang boleh memberi input kepada murid-murid

Sekiranya sudah lengkap, tahniah! Tetapi sekiranya masih belum lengkap, bila lagi mahu selesai. Alasan-alasan konvensional seperti :
1. Kami dua sesi; susah nak menghias.
2. Nak buat jadual apa, PK asyik tukar jadual waktu sekolah,
3. Pandailah murid-murid bertugas,
4. Murid sesi pagi / petang dengki; kami balik mereka koyak.
5. Saya guru baru, masih sedang belajar.
6. Agh... buang masa sahaja, baik aku mengajar...
7. Ari tu dah gantung artikel, tapi dah kena makan matahari.
8. Asyik-asyik guru kelas, guru relief tu buat apa; senang le hidup mereka.
9. Emmm malaslah, bukan masuk periksa budak-budak tu nanti

... seharusnya tidak wajar keluar daripada mulut kita, warga sekolah.

Kalau tidak kita yang menghias kelas, siapa lagi.

Kepada guru-guru relief; ringankan tulang untuk membantu guru kelas dalam usaha mereka menghias kelas...

(arain)

Kajian Tindakan 2009

Semalam pihak Pengurusan Akademik PPDHS telah dihubungi oleh pihak JPS yang memaklumkan bahawa 8 orang guru (penyelidik Kajian Tindakan 2009) telah terpilih mewakili Selangor untuk dihantar ke EPRD. Senarai nama akan dimaklumkan pada minggu hadapan....

Siapakah mereka yang mengharumkan nama Hulu Selangor ya....

Tuesday, February 2, 2010

Bengkel Komponen Sastera BI SM Tingkatan 1 - 4

Sukacita dimaklumkan bahawa dua orang guru Bahasa Inggeris ( seorang yang mengajar Tingkatan 1 dan seorang Tingkatan 4) adalah diwajibkan hadir ke bengkel yang dinyatakan di bawah :

Tarikh : 3 dan 4 Februari 2010
Hari : Rabu dan Khamis
Masa : 8.30 pagi - 5.00 petang
Tempat : PKG Kalumpang

Sila bawa bersama-sama buku teks sastera Bahasa Inggeris Tingkatan 1 dan 4.

Selamat Tahun Baru Cina

Bersempena Tahun Baru Cina yang akan tiba pada 14 dan 15 Februari 2010, kami warga Pengurusan Akademik PPDHS ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina ; Gong Xi Fa Chai kepada semua pentadbir, guru-guru dan murid-murid Cina.

Semoga perayaan tahun ini akan disambut dengan gembira dan meriah serta kecemerlangan murid-murid akan dicapai dalam peperiksaan utama pada tahun ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Guru Kanan Mata Pelajaran

Adalah dimaklumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Guru Kanan Mata Pelajaran Bi. 01/ 2010 Daerah Hulu Selangor akan diadakan seperti yang dinyatakan di bawah :

Tarikh : 4 Februari 2010
Hari : Khamis
Masa : 2.00 petang
Tempat : Bilik Mesyuarat SMK Syed Mashor

Mereka yang dijemput hadir ialah guru kanan mata pelajaran :
1. Bahasa
2. Sains dan Matematik
3. Sains Kemanusiaan
4. Teknik dan Vokasional

Monday, February 1, 2010

Tahniah dan Selamat Datang

Kami Pengurusan Akademik PPDHS mengucapkan Syabas & Tahniah serta Selamat Bertugas kepada Ybhg. Dr. Haji Zahri bin Aziz (Mantan Pengarah JPN Selangor) yang telah dilantik sebagai Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pihak Pengurusan Akademik PPDHS juga mengalu - alukan kehadiran Ybhg. En. Sulaiman bin Wak (Mantan Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur)
sebagai Pengarah Jabatan Pelajaran Selangor yang baru.

Keputusan Undi Pertama

Keputusan undi yang pertama di bawah tajuk " LADAP Berasaskan Sekolah 2009 banyak memberikan pengetahuan kepada guru-guru di daerah ini".

Amat bersetuju - 25 %
Bersetuju - 37 %
Tidak bersetuju - 37 %

Terima kasih diucapkan kepada semua pengundi.

SELAMAT DATANG.

Pengurusan Akademik PPDHS mengalu-alukan kehadiran kepada En. Firdaus bin Abu Hanifah ke sektor ini. Beliau adalah merupakan Pegawai Khas Peperiksaan yang akan membantu Tn. Hj. Rahim bin Omar dalam mengendalikan peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STPM dan MUET di daerah ini.

Selamat bertugas dan didoakan perjalanan peperiksaan di daerah ini akan menjadi lebih lancar dan teratur.


Makluman Penting Unit-Unit Pengurusan Akademik PPD Hulu Selangor

BERITA TERKINI PRIHAL AKADEMIK

BIJAK BESTARI ( Siri 6)


And treat them with humility, out of tenderness and mercy and pray (for them by saying): ?O Lord! Be merciful to them as they cherished and reared me when I was a child .

(Surah al-Israa', 17:24)